Nketiah bersorak selepas berjaya menjaringkan hatrik ketika membenam Sheffield United 5-0 lewat malam tadi.

LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta berkata, Eddie Nketiah adalah seorang penyerang bertaraf dunia dengan keupayaan untuk meningkat selepas menjaringkan hatrik ketika membenam Sheffield United 5-0 lewat malam tadi.

Kemenangan The Gunners meletakkan anak buah Arteta dua mata di belakang musuh utara London, Tottenham di puncak carta Liga Perdana Inggeris.

Namun ramai mempersoalkan sama ada Arsenal memiliki penjaring gol sejati yang diperlukan untuk merampas kejuaraan daripada Manchester City.

Nketiah disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas Gabriel Jesus mengalami kecederaan hamstring ketika menang 2-1 ke atas Sevilla dalam Liga Juara-Juara di gelanggang lawan awal pagi Rabu lalu, lapor AFP.

Arteta memuji penjaring gol terbanyak sepanjang zaman England bagi peringkat umur B-21 itu.

“Bagi saya, dia di tahap tertinggi,” kata Arteta. “Dia sudah bermula lapan daripada 10 perlawanan Liga Perdana, jadi ia membuktikan kepada anda betapa kami dan saya mempercayainya dan kepentingannya dalam pasukan.

“Amat gembira buatnya, seorang pemain akademi, untuk meraih pengalaman meledak hatrik dalam Liga Perdana.

“Dia perlu menikmati saat ini, dia berhak menikmatinya dan harapnya lebih banyak lagi gol akan diperolehnya.”

Nketiah menjadi pengganti Jesus bagi tempoh yang lama musim lalu selepas penyerang Brazil itu mengalami kecederaan lutut pada Piala Dunia.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast