KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperuntukkan sebanyak RM53 juta kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di bawah Rancangan Malaysia Ke -12 (RMK-12).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM9.2 juta diperuntukkan untuk alat Angiografi Biplane di Jabatan Radiologi dan alat Fluroskopi di Pusat Perkhidmatan Endoskopi, yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

“Sebagai sebuah hospital pengajar yang telah beroperasi selama 26 tahun, pastinya pelbagai kemudahan, fasiliti dan peralatan yang diguna pakai selama ini memerlukan penaiktarafan, penggantian serta pembaharuan.

“Peruntukkan ini bertujuan penggantian alat usang di pelbagai tempat seperti perkhimatan Radiologi, dewan bedah, endoskopi serta Radioterapi dan Onkologi.

“Saya yakin, hasil peruntukkan yang besar ini akan membolehkan penggunaan peralatan perubatan berteknologi terkini dan canggih sekali gus meningkatkan tahap serta kualiti perkhidmatan di hospital ini,” katanya ketika berucap merasmikan Penggunaan Peralatan Perubatan RMK-12 HCTM, di sini, hari ini.

Teks ucapan dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff.

Tambah Mohamed Khaled, KPT amat berbesar hati menyokong perancangan peningkatan keupayaan melalui penambahan alat canggih yang sebahagiannya bertujuan menggantikan alat yang telah usang.

“Kita sedar, ini adalah satu keperluan yang tidak boleh dielakkan. Lebih- lebih lagi, bagi pihak KPT, kualiti dan mutu ekosistem pengajian perubatan dan kecekapan perkhidmatan yang hopsital pengajar univeristi (HPU) tawarkan kepada orang awam tidak boleh dikompromikan sama sekali,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata peralatan yang diterima itu sebahagiannya menjadi peralatan utama dan sokongan kepada pelbagai jenis peralatan perubatan sedia ada di HCTM yang dianggarkan melebihi 8,000 unit.

Katanya lagi, secara ringkas peralatan perubatan yang digunakan di HCTM boleh dikategorikan kepada empat bahagian utama iaitu peralatan Radiologi dan Pengimejan, Terapeutik, Diagnostik dan peralatan makmal.

“Selaras dengan perkembangan terkini, peralatan perubatan yang digunakan HCTM juga menggunakan peralatan berasaskan teknologi Kecerdasan Buatan atau Artifical Intelligence (AI).

“Teknologi AI ini dimanfaatkan dalam peralatan pengimejan seperti Angiografi, Fluoroskopi, Magnetic Resonance Imaging (MRI), X-ray dan sebagainya. Teknologi AI ini juga telah banyak membantu dalam proses diagnosis perawatan yang dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, efisen dan tepat,” ujarnya. – MalaysiaGazette