KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan sistem monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) masih releven kepada kerajaan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dasar yang dilaksanakan oleh Bernas ketika ini masih boleh diterima dalam mendepani situasi semasa bagi bekalan beras dalam negara.
“Prestasi Bernas selaku pengimport utama beras negara sentiasa dipantau dan diberikan penilaian oleh Kerajaan melalui pencapaian Key Performance Indicators (KPI) yang telah ditetapkan di dalam Perjanjian Konsesi tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 pada peringkat daar hari ini di Dewan Rakyat.
Jelas Mohamad, berbanding perjanjian konsesi antara kerajaan dan Bernas sebelum ini, Kerajaan telah membuat penambahbaikan dengan menetapkan supaya Bernas melaksanakan 10 obligasi sosial bagi pihak Kerajaan bernilai RM3.2 billion yang meliputi pelbagai program dan insentif di sepanjang rantaian nilai industri, bagi tempoh perjanjian konsesi baharu.
“Pihak Bernas juga bersetuju berkongsi 30 peratus daripada keuntungan bersih syarikat bersama 240,000 pesawah di seluruh negara,” katanya.
Mohamad berkata, kini, Bernas adalah single gatekeeper yang bersifat subsidi silang yang mana keuntungan import akan digunapakai bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan oleh kerajaan.
Sementara itu, Mohamad berkata, jumlah stok bekalan beras sehingga 24 Oktober 2023 adalah sebanyak 832,182 tan metrik yang terdiri daripada 250,000 tan metrik stokpail Kerajaan dan 582,182 tan metrik stok dagangan.
“Jumlah ini adalah mencukupi untuk menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengimbangkan harga jualan beras tempatan bagi meningkatkan pendapatan pesawah di negara ini.
Mohamad berkata, perkara itu akan dilihat oleh kerajaan dari masa ke semasa.
“PM kita ini susah nak naikkan satu harga. Dia bincang berkali kali. Walaupun saya mengadu pada Menteri Kewangan dan PM tapi dia tetap denga sikap pro rakyatnya.
“Sebab itulah pandangan Titiwangsa tu memang pandangan seorang ahli ekonomi dan kalaulah berlaku misalnya perubahan ini kita harap ia tak menjadi masalah besar kepada majoriti rakyat. Itu paling penting,” katanya. – MalaysiaGazette