Sebahagian pelajar sulung program Asasi STEM yang telah menamatkan program pengajian peringkat ijazah sarjana muda dengan kelas pertama.

SERINGKALI terdengar keluhan daripada pelajar yang mengatakan bahawa aliran sains adalah suatu bidang yang susah, subjek berat, tidak yakin untuk dikuasai dan sebagainya.

Disebabkan itu juga bilangan pelajar yang mengambil jurusan sains semakin berkurang saban tahun. Kemerosotan angka ini memberi kesan besar kepada penawaran program-program berasaskan sains di peringkat universiti sehingga ada diantaranya terpaksa menghentikan pengambilan bagi program yang tidak mendapat sambutan pelajar.

Lebih malang dengan penyusutan kumpulan aliran sains itu turut memberi kesan kepada kemajuan negara kerana pelajar-pelajar merupakan aset penting untuk memacu negara di masa hadapan.

Ditambah pula dengan perubahan teknologi yang pantas melalui pengembangan bidang sains dan teknologi serta Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), siatuasi ini mendesak negara untuk melakukan sesuatu dalam usaha melahirkan lebih ramai saintis, jurutera, ahli teknologi dan lain-lain dalam pelbagai pecahan bidang sains.

Pada Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meletakkan perhatian tinggi terhadap isu kekurangan pelapis dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan mahu KPM segera menubuhkan pasukan khas untuk mencari jalan
bagi menyuntik kembali minat pelajar terhadap bidang tersebut.

Sebagai sebuah universiti yang mempunyai bidang tujahan sains dan teknologi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil langkah tepat bagi menyokong usaha kerajaan dalam melahirkan lebih ramai graduan bidang sains dengan memperkenalkan program Asasi STEM.

Menurut Pengarah Pusat Asasi STEM UMT, Prof. Madya Dr. Laili Che Ros, matlamat program tersebut adalah menyediakan bakal pelajar prasiswazah dengan pengetahuan serta kemahiran yang secukupnya dalam bidang STEM bagi mengikuti program-program
ijazah sarjana muda berasaskan STEM di UMT.

“Di sini kami mendedahkan pelajar kepada STEM dan memberi peluang kepada mereka untuk mendalami ilmu berkaitan bidang ini.

“Dengan itu, pelajar akan tertarik dan lebih meminati bidang STEM dan akhirnya menceburi kerjaya dalam bidang ini,” katanya.

Menurutnya, kursus wajib Asasi STEM terdiri daripada kursus Keperibadian Quranik, Bahasa Inggeris dan kokurikulum.

Kursus Teras Program pula terdiri daripada kursus Biologi, Kimia, Fizik, Matematik, Sains Bumi dan Angkasa, Pengenalan Kepada Kejuruteraan, Pengenalan Kepada Aplikasi Komputer, Sejarah dan Falsafah STEM dan Modul Hafazan atau mengaji al-Quran sebagai
nilai tambah kepada pelajar.

Baru-baru ini UMT meraikan graduan sulung Asasi STEM kohort pertama yang berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam program pengajian sains masing-masing sempena penganjuran Majlis Konvokesyen UMT ke-21 yang telah berlangsung pada 22-24 Oktober 2023.

Graduan sulung, Noorsaadah Abd Samad, 23, menyatakan program Asasi STEM yang ditawarkan di UMT memberi peluang baharu kepadanya untuk membina kerjaya yang lebih luas dalam industri.

“Pada pandangan saya, program Asasi STEM sangat bagus bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Program Asasi sendiri adalah fast track kepada para pelajar untuk melangkah ke alam ijazah dengan hanya tempoh satu tahun.

“Selain itu, program Asasi STEM sendiri mempunyai kelainan daripada Asasi yang lain di mana bukan hanya berfokus kepada pelajaran semata mata tetapi banyak program diadakan atau dianjurkan bagi membantu pelajar Asasi STEM mengasah pelbagai bakat dan kemahiran terutama dalam bidang STEM.

“Kemahiran- kemahiran yang diperoleh dapat membina keyakinan dalam diri seseorang pelajar seperti lebih yakin untuk berkomunikasi bersama khalayak ramai dan menarik minat orang lain untuk ceburi bidang STEM,” ujarnya.

Tambahnya, penawaran program asasi STEM UMT mempunyai keunikan tersendiri dengan memberi peluang kepada pelajar bukan aliran sains untuk mengikuti program sains.

“Uniknya Asasi STEM UMT di mana menjadi satu – satunya Asasi Sains yang memberi peluang kepada pelajar lepasan SPM bukan aliran Sains untuk menceburi bidang Sains. Saya sebagai seorang yang bukan daripada aliran sains amat bersyukur diterima sebagai salah seorang pelajar Asasi STEM kohort 1.

“Program Asasi STEM bukan sahaja dapat memberi peluang kepada saya menceburi bidang sains malah dapat memberi laluan terus kepada saya untuk memasuki program Ijazah Sarjana Muda yang saya inginkan iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik Kewangan).

“Alhamdulillah kini saya telah berjaya menghabiskan Ijazah Sarjana Muda dengan cemerlang. Terima kasih kepada UMT khususnya tenaga pengajar di Pusat asasi
STEM yang banyak mengambil berat dan dorongan yang berterusan terutama kepada kami (pelajar bukan aliran Sains) sepanjang kami berada di UMT,” tambahnya.

Anak kelahiran Pontian, Johor itu antara lima graduan bukan aliran sains yang berjaya mengikuti program sains di UMT sehingga berjaya memperoleh ijazah sarjana muda.

Oleh itu, pelbagai pihak khususnya badan korporat serta pemain industri perlu tampil memberi sumbangan samada dalam bentuk tenaga, buah fikiran, peralatan, sumber mahupun dana dalam menyatakan sokongan kepada usaha pemerkasaan dan penggalakan bidang STEM. Usaha yang dilakukan perlu dilihat secara big picture agar ia dilaksanakan dengan rasa tanggungjawab yang akhirnya ‘hasil’ tersebut akan digunakan kembali dalam organisasi atau industri seiring perubahan teknologi. – MalaysiaGazette