Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan diiringi pegawai SPRM hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan berkaitan Projek Inisiatif Jana Wibawa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad akan didakwa lagi dengan beberapa pertuduhan kes minggu depan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadhly Mohd Zamry dan Farah Yasmin Salleh memaklumkan perkara itu pada sebutan kes Adam Radlan, 42, membabitkan enam pertuduhan rasuah berhubung projek Jana Wibawa di hadapan Hakim Azura Alwi dan Suzana Hussin, hari ini.

Sebanyak lima pertuduhan membabitkan kes rasuah telah disebut di hadapan Hakim Azura Alwi, iaitu membabitkan dua tuduhan meminta dan menerima rasuah RM2 juta

Manakala tiga tuduhan menerima rasuah masing-masing RM2.1 juta, RM500,000 dan meminta rasuah wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek.

Satu lagi kes berkaitan kes pengubahan wang haram disebut di hadapan Hakim Suzana Hussin juga dalam prosiding hari ini.

Ketika prosiding, Mohd Fadly memaklumkan pendakwaan akan mengemukakan tuduhan terhadap Adam Radlan minggu hadapan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

“Kami memohon tarikh sebutan baharu untuk memindahkan kes bagi tujuan dibicarakan bersama selepas pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam selesai. Sebelum ini, kami telah maklumkan akan pinda semua kes Mahkamah Sesyen 14 (Hakim Suzana).

“Namun dengan perkembangan baru, tertuduh akan didakwa lagi bawah AMLATFPUAA,” katanya hari ini.

Pertuduhan itu akan dibuat di Mahkamah Shah Alam.

Hakim kemudian menetapkan 28 November ini bagi tarikh sebutan.

Perkara sama turut dimaklumkan Farah Yasmin di hadapan Hakim Suzana Hussin dan meminta tarikh sebutan sama.

Minggu lepas, Adam Radlan didakwa dengan dua tuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh Mat Jusoh Mamat iaitu Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd dan suapan bernilai RM500,000 daripada individu sama berhubung projek Jana Wibawa.

Pada 28 Februari pula, dia sekali lagi didakwa iaitu secara rasuah meminta wang berjumlah RM2 juta daripada Lian Tian Chuan sebagai upah untuknya kerana membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek berkaitan Jana Wibawa. – MalaysiaGazette