KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan untuk melepas dan membebaskan (DAA) pegawai polis, Sheila Sharon Steven Kumar daripada pertuduhan membawa keaiban terhadap seorang anggota berpangkat Lans Koperal.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Norsharidah Awang membenarkan rayuan Sheila Sharon yang berpangkat Inspektor terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepas tanpa membebaskannya (DNAA) pada 26 Jun lepas.
DNAA diberikan kerana tuduhan berkenaan tidak dibacakan terhadap tertuduh dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan majistret seperti yang termaktub undang-undang.
Peguam mewakili Sheila Sharon, M Manoharan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Kata peguam itu, pihaknya membuat rayuan hari ini selepas Mahkamah Majistret yang memberikan DNAA kerana masalah ‘teknikal’ dalam mendaftarkan kes anak guamnya.
“Pendakwaan sendiri sudah akui Inspektor Sheila tidak akan didakwa semula,” katanya kepada media.
Bagaimanapun, Sheila Sharon masih lagi berdepan dengan tiga lagi kes yang sedang berjalan iaitu mengaibkan kehormatan dan ugutan jenayah.
Tarikh perbicaraan sudah ditetapkan selama tiga hari bermula 5 Februari tahun depan.
Pada Jun tahun tular pengguna media sosial mendakwa Sheila Sharon mengaibkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal di sebuah kedai makan, bagaimanapun pegawai PDRM itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dalam mahkamah berlainan pula, Sheila Sharon didakwa atas dua lagi pertuduhan iaitu mengugut seorang wanita dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa dan menghina kesopanan seorang lelaki dengan berkata; “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu”. – MalaysiaGazette