Antara peniaga ayam segar di Pasar Besar Kuantan ketika tinjauan MalaysiaGazette hari ini. - Gambar hiasan

KUANTAN – Keputusan kerajaan menamatkan pemberian subsidi dan harga kawalan ayam yang akan bermula esok dijangka tidak memberi kesan ketara kepada peniaga dan pengguna.

Malah terdapat peniaga yang menyambut baik keputusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kerana mendakwa pemberian subsidi sebelum ini merugikan kerajaan.

Peniaga, Ahmad Darwisy Sulaiman, 62, berkata, pemberian subsidi hanya menguntungkan pembekal sahaja.

Ahmad Darwisy Sulaiman

“Sepatutnya harga ayam tak payah dikawal, sebab dia bermusim. Dia (pembekal) dapat subsidi, tapi harga tetap mahal (jual kepada peniaga).

“Misalnya ayam RM8.10, dia (pembekal) bagi kita RM8.70. Elok tak payah (subsidi). Buat rugi kerajaan je,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Kuantan, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa penjualan ayam akan berada di bawah harga siling selepas subsidi dan kawalan ditamatkan sepenuhnya berkuat kuasa esok.

Jelasnya, sejak Februari 2022, kerajaan menanggung RM3.8 billion untuk subsidi telur dan ayam, justeru penamatan subsidi dan kawalan harga ayam itu, dijangka dapat menjimatkan kira-kira RM100 juta sebulan yang diperuntukan untuk subsidi bahan mentah itu.

Pelangan, Mohd Asit Imam Awang, 72, pula tidak kisah jika kerajaan menarik balik pemberian subsidi harga ayam.

Meskipun harga ayam dilihat agak mahal berbanding beberapa tahun lalu namun katanya, situasi itu tidak dapat dielak dengan keadaan ekonomi semasa.

Mohd Asit Imam Awang

“Kalau ikutkan memang membebankan, tapi saya beli ayam seminggu sekali je. Kalau nak makan, terpaksa juga beli. Kalau harga subsidi ayam ditarik kerajaan, jika tidak berlaku perubahan drasik harga ayam tak apa.

“Kalau purata dalam RM10, ok lagi. Tapi kalau pergi sampai RM15 tu  lain la,” katanya.

Sementara itu, Azila Muhammad, 49, berharap harga ayam tidak naik mendadak selepas ini.

Ibu kepada empat orang anak itu tidak menolak kemungkinan enggan membeli ayam jika berlaku kenaikan harga tidak masuk akal dan beralih kepada pilihan makanan lain.

“Ada dengar cerita (subsidi ayam nak ditarik balik kerajaan), tapi tak tahu lah macam mana pengiraannya tu. Sama ada harga terus naik ke, hari-hari naik ke. Kalau nak turun harga tu mungkin tak lah kan,” katanya.

Azila Muhammad

Sementara itu, Azila Muhammad, 49, berharap harga ayam tidak naik mendadak selepas ini.

Ibu kepada empat orang anak itu tidak menolak kemungkinan enggan membeli ayam jika berlaku kenaikan harga tidak masuk akal dan beralih kepada pilihan makanan lain.

“Ada dengar cerita (subsidi ayam nak ditarik balik kerajaan), tapi tak tahu lah macam mana pengiraannya tu. Sama ada harga terus naik ke, hari-hari naik ke. Kalau nak turun harga tu mungkin tak lah kan,” katanya. – MalaysiaGazette