BERLIN – Sekurang-kurangnya tiga pekerja maut selepas perancah besi di tapak pembinaan di bandar Hamburg, Jerman, runtuh.
Beberapa orang juga dilaporkan cedera termasuk sekurang-kurangnya seorang yang berada dalam keadaan kritikal.
Insiden itu berlaku pada pagi Isnin di Uberseequartier di daerah HafenCity – salah satu tapak pembinaan terbesar di bandar itu.
Perancah besi itu runtuh dari tingkat lapan.
Beberapa orang masih dilaporkan hilang, kemungkinan terperangkap di bawah serpihan.
Menurut media Jerman, berpuluh-puluh kakitangan perkhidmatan kecemasan berada di lokasi untuk kerja-kerja mencari dan menyelamat.
“Pada masa ini operasi menyelamat teknikal yang sangat sukar oleh pasukan penyelamat bomba sedang dijalankan,” kata jurucakap bomba Philipp Baumann kepada media ZDF.
Dilaporkan beratus-ratus sedang bekerja di tapak pembinaan – projek komersial yang melibatkan pejabat, kediaman, hotel dan kedai. – Agensi