KUALA LUMPUR – Seramai 340 pelajar daripada 17 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menyertai Festival Teater Pengguna Siswa IPTA pada tahun ini.
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pelbagai isu berkaitan kepenggunaan dan kos sara hidup rakyat telah diketengahkan dalam pementasan teater yang bermula 22 hingga Isnin yang lalu.
KPDN berkata, program tersebut merupakan pertandingan seni teater bertemakan kepenggunaan dengan penekanan kepada pengguna bijak dan kos sara hidup.
“Pihak KPDN komited menyokong usaha dan kerjasama strategik dengan semua pihak termasuklah pihak universiti dalam meningkatkan kesedaran hak pengguna di kalangan pengguna muda.
“Pihak KPDN percaya peranan yang dimainkan oleh pelajar IPT amat signifikan yang mana mereka boleh berperanan sebagai mata dan telinga Kerajaan dalam menyemarakkan dan menyebarluas pendidikan kepenggunaan melalui program advokasi kepenggunaan yang dijalankan,” kata kementerian tersebut.
Jelas KPDN, antara objektif utama program berkenaan adalah menyebarluas pendidikan kepenggunaan melalui platform yang menarik serta meningkatkan tahap pendayaupayaan pengguna terutama di kalangan pelajar di IPT.
Festival Teater Pengguna Siswa IPTA 2023 merupakan anjuran bersama KPDN, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM).
Program telah berlangsung di Panggung Percubaan Pusat Kebudayaan dan Kesenian, Universiti Putra Malaysia.
Pertandingan itu melabuhkan tirainya dengan menerusi malam kemuncaknya di yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar malam tadi.-MalaysiaGazette