Datuk Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa

KUANTAN – Seramai 1,193 pegawai dan anggota bomba sepenuh masa, bomba bantuan dan pasukan bomba sukarela di negeri ini dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, selain keanggotaan, pihaknya turut menambah baik persediaan daripada aspek logistik dan komunikasi pada tahun ini.

“Kita adakan kerjasama dengan sekumpulan radio amatur, pertingkatkan sistem daripada Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JBPM Pahang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dari segi kekuatan logistik pula membabitkan 257 kenderaan termasuk kenderaan marin, lori, kenderaan pelbagai guna, pacuan empat roda dan bas.

Selain itu, sebanyak 74 kenderaan Marin juga dalam keadaan siap sedia dan telah diagihkan ke seluruh 28 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh negeri.

JBPM Pahang juga katanya, telah mewujudkan Pasukan Gerak Cepat (PGC) MTL yang akan memudahkan usaha pemindahan dan penempatan mangsa-mangsa banjir.

“Ada enam pasukan PGC di Pahang dianggotai lima anggota dan satu komander operasi. Mereka dilengkapi lori, pacuan empat roda dan dua buah bot. Bila berlaku banjir yang berhampiran, mereka yang pergi dahulu,” katanya.

Sementara itu, Wan Mohammad Zaidi memberitahu, sebanyak 763 kawasan hotspot risiko banjir telah dikenal pasti oleh pihak Jabatan Air dan Saliran (JPS) di seluruh negeri.

Bagaimanapun, katanya, JBPM Pahang sentiasa mengadakan pemantauan di kawasan-kawasan tersebut agar dapat lebih bersedia sebelum kejadian banjir berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast