Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan kad diskaun khas untuk peniaga Menu Rahmah bermula esok bagi membolehkan peniaga membeli bahan mentah dengan potongan harga.

Pemangku Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, diskaun harga tersebut melibatkan enam pasar raya yang menjalin kerjasama dengan kementerian tersebut.

“Esok saya akan turun bersama Timbalan Menteri (KPDN) bagi satu inisiatif terbaharu iaitu penawaran kad diskaun rahmah kepada pengusaha kafe dan restoran terlibat.

“Ia sebagai insentif kepada mereka yang menyokong usaha kerajaan selama ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 mewakili KPDN di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menerusi program itu, restoran atau kafe yang mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut menjual sajian atau menu pada harga RM5.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, Program Jualan Rahmah (PJR) telah dirancang untuk dilaksanakan dengan kekerapan sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.

Jelasnya, bagi memastikan capaian PJR ini lebih meluas dan agar lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada program ini, PJR telah diperluaskan lagi pelaksanaannya melalui kaedah secara bergerak.

“Kaedah ini bagi memastikan kawasan-kawasan yang tidak mempunyai premis peruncitan yang sesuai bagi pelaksanaan PJR turut sama dapat menikmati manfaat program ini yang menawarkan jualan barangan pada harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran,” katanya. – MalaysiaGazette