KUALA LUMPUR – Lima buah kenderaan yang parkir di tempat letak kereta di pusat perniagaan di Kota Damasara rosak selepas dihempap pokok tumbang petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, bilik gerakan operasi negeri telah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam lebih kurang 3.36 petang tadi.
Katanya, bertindak atas maklumat kecemasan itu sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 7, Damansara telah bergegas ke lokasi kejadian tersebut.
“Sebatang pokok telah tumbang dan menghempap lima buah kereta jenis Perodua Axia, Proton Saga BLM, NIssan Almera, Honda City dan Honda City Hatchback,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Tambah Ahmad Mukhlis lagi, pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati tiada sebarang mangsa terlibat dalam insiden berkenaan semasa kejadian berlaku.
Kerja-kerja mengalihkan pokok tersebut telah selesai dijalankan.
Dalam satu perkembangan lain, insiden tujuh batang pokok tumbang dan menghalang jalan telah dilaporkan berlaku di Persiaran Meranti Bandar Sri Damansara sekitar waktu yang sama akibat hujan lebat dan angin kencang petang tadi.
“Kerja-kerja membersihkan laluan dan mengalihkan pokok tumbag telah giat dijalankan dan aliran kenderaan kembali normal menjelang lewat petang tadi,” ujar beliau lagi.-MalaysiaGazette