KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara bersetuju untuk menganjurkan sambutan Minggu Perpaduan pada tahun depan yang diadakan di Johor.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kementerian akan turut mempertimbangkan untuk memasukkan Program Rukun Negara di dalam program yang disambut setiap tahun itu.
Pada masa sama, Kementerian Perpaduan Negara akan meneruskan beberapa program lain pada tahun depan termasuk program eksplorasi Rukun Negara dan program ‘Ini Warisan Kita’.
“Selain itu, program di bawah Jabatan Muzium Negara seperti program Citra Nusa@Muzium; Harmoni dan Program Promosi Perpaduan akan diteruskan.
“Kementerian akan memastikan peruntukan diluluskan dalam Belanjawan 2024 mengikut perancangan yang disusun bagi mencapai matlamat dan objektif disasarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini, hari ini. – MalaysiaGazette