BANGI – Tidak sampai dua minggu pelaksanaan ciri baharu MyMinda dalam aplikasi MySejahtera, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperolehi 6,955 saringan.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, daripada saringan itu, pihaknya mendapati terdapat perkara-perkara yang mengejutkan hasil dapatan daripada saringan tersebut.
Tambah beliau, sebanyak 1,315 daripada saringan itu adalah tingkah laku untuk membunuh diri.
“Kita dapati berisiko kemurungan adalah 2,820 orang, yang bergejala keresahan adalah 1,271, bergelaja kemurungan dan keresahan 2,887 orang.
“Paling menyedihkan ada juga tingkahlaku untuk bunuh diri 1,315 orang, ini yang terkini saya boleh berikan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Minda Sihat Hidup Sejahtera di Menara Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusi (KSM), V Sivakumar.
Pada 21 Oktober lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan ciri baharu MyMinda dalam aplikasi MySejahtera bagi membolehkan pengguna membuat penilaian kendiri status kesihatan mental masing-masing.
Pengguna MySejahtera boleh mengakses soalan disediakan bagi menilai tahap status kesihatan mental, tahap stress masing-masing
Menurut Dr Zaliha, statistik berkenaan diperoleh dalam masa dua minggu pelaksanaan MyMinda sejak 21 Oktober lalu.
Setakat ini, Dr Zaliha berkata, KKM hanya mempunyai 374 pakar psikiatri, 774 pakar perubatan keluarga, 369 pegawai psikologi dan 50 pegaeai psikologi klinikal untuk menangani masalah yang diperolehi oleh MyMinda.
Sementara itu, Sivakumar berkata, hanya sartu kes psikososial dilaporkan sepanjang tahun lepas kepada KSM.
Beliau berkata, statistik tersebut disediakan berdasarkan Statistik Penyakit Pekerjaan Negara Tahun 2022.
“Bilangannya amat kecil jika dibandingkan penyakit pekerjaan lain seperti gangguan pendengaran (5,478 kes), muskuloskeletal (678 kes), penyakit disebabkan ejen biologi seperti jangkitan kuman (420 kes), penyakit disebabkan ejen fizikal seperti terjatuh (339 kes), keracunan (185 kes), penyakit paru-paru (20 kes), penyakit kulit (15 kes) dan lain-lain penyakit (6 kes).
“KSM mengambil serius isu berkaitan kesihatan mental di tempat kerja ini dan sedang membangunkan dasar berkaitan dengan melibatkan semua pemegang taruh termasuk agensi-agensi kerajaan, majikan, pekerja, pengamal KKP, persatuan dan badan bukan kerajaan,” katanya dalam sidang media sama. – MalaysiaGazette