Armizan Mohd Ali. Foto AFFAN FAUZI, 09 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dicadang agar dilantik terus ke jawatan tersebut bagi mengatasi pelbagai masalah kenaikan harga dan kos sara hidup yang melanda negara ketika ini.

Cadangan itu dilontarkan oleh beberapa Ahli Parlimen Pembangkang di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berpendapat, kekosongan jawatan itu yang ketika ini masih belum diisi sejak tiga bulan lalu mungkin menyebabkan pelan tindakan bagi menyelesaikan isu berkaitan tidak dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Wajar pemangku ini (Armizan) dilantik sebagai menteri mengambil kira betapa seriusnya masalah kos sara hidup ketika ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail turut memuji kecekapan Armizan yang berjaya memberi penjelasan baik ketika sesi penggulungan yang dibuat Ahli Parlimen Papar itu.
“Seorang menteri yang memiliki prestasi baik dan patut dilantik Menteri KPDN,” kata Ku Abd Rahman.

Pada 30 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Armizan yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) untuk memangku tugas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup buat sementara waktu.

Kekosongan bagi portfolio itu masih belum diisi sejak kematian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari disebut-sebut bakal dilantik menerajui kementerian itu yang dikatakan kuota menteri untuk Parti Amanah Negara. – MalaysiaGazette