Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed ketika menghadiri pelancaran Program Tajaan Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso kepada rakan penghantar Grab Malaysia, di Grab Driver Centre (GDC), hari ini.

PETALING JAYA – Keputusan Grab Malaysia untuk meneruskan tajaan caruman untuk penghantar dan pemandu mencerminkan kecaknaan terhadap kepentingan perlindungan sosial dalam sektor ekonomi gig.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata sehingga 27 Oktober lalu menyaksikan seramai 222,049 penggiat gig di pelbagai platform penyedia perkhidmatan, untuk sektor penghantaran barangan atau makanan dan pengangkutan penumpang mempunyai caruman yang aktif.

Daripada jumlah itu, sebanyak 122,953 atau 55.37 peratus adalah mereka yang berkhidmat dengan Grab Malaysia bagi kedua-dua sektor.

“Pada tahun ini, Grab Malaysia menaja seramai 19,000 atau 15.45 peratus daripada keseluruhan rakan penghantar dan pemandu mereka, mengikut Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Padanan Caruman 20 peratus iaitu sebanyak RM46.60 berpandukan Pelan 2.

“Bagi tahun depan, kerajaan menyarankan penglibatan semua penyedia platform termasuk Grab Malaysia untuk menanggung baki 10 peratus SPS Padanan Caruman, demi kelestarian perlindungan sosial penggiat gig.

“Justeru, Perkeso yakin Grab Malaysia akan menyambut baik saranan kerajaan ini untuk menaja semua rakan penghantar dan pemandu di bawah platform mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri pelancaran Program Tajaan Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso kepada rakan penghantar Grab Malaysia, di Grab Driver Centre (GDC), di sini, hari ini.

Menyentuh kepentingan caruman SKSPS, Mohammed Azman berkata, perlindungan keselamatan sosial tidak hanya berkisar kepada manfaat yang bakal diperoleh rakan penghantar, sebaliknya turut meliputi kelangsungan hidup waris dan orang tanggungan mereka.

“Sehingga 27 Oktober lalu, Perkeso sudah membayar faedah kepada 4,125 penerima yang terdiri daripada pencarum, waris dan orang tanggungan menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) menjangkau RM23 juta.

“Perlindungan sosial penting kerana bagi tempoh 2020 sehingga kini, sebanyak 4,330 atau 82.57 peratus daripada 5,244 kes kemalangan yang membawa kepada tuntutan faedah adalah membabitkan sektor penghantaran barangan dan makanan. – MalaysiaGazette