Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat petang ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) selepas rang undang-undang itu selesai dibahaskan di peringkat dasar.

Undian suara dibuat yang menyaksikan RUU Perbekalan 2024 itu diluluskan ketika sesi mesyuarat dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Sesi undian dibuat sebaik Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menggulung perbahasan RUU Perbekalan 2024 peringkat dasar.

Bermula 16 Oktober lalu, seramai 85 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Perbekalan 2024 peringkat dasar.

Sebelum itu, sesi terakhir penggulungan peringkat dasar RUU Perbekalan 2024 melibatkan lima kementerian iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.

RUU Perbekalan 2024 adalah belanjawan kedua di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Ia dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari, disusuli penggulungan selama empat hari mulai 30 Oktober lalu.

Dokumen Belanjawan 2024 membabitkan peruntukan tertinggi dalam sejarah negara, bernilai RM393.8 bilion, dibentangkan Anwar pada 13 Oktober lalu.

Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ itu memperuntukkan RM303.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion pula disediakan untuk simpanan luar jangka. – MalaysiaGazette