Pengarah Pembangunan Belia Perak FC, Neow Choo Seong (kiri) pada sidang media di Menara SSI, Soho Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 NOVEMBER 2023

IPOH – Perak FC berhasrat menubuhkan akademi bola sepak dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi mencungkil bakat muda untuk pembangunan sukan berkenaan di negeri ini.

Pengarah Pembangunan Belia Perak FC, Neow Choo Seong berkata, penubuhan akademi itu juga bermatlamat mengasah bakat muda yang berpotensi diketengahkan sebagai pemain bola sepak di peringkat kebangsaan.

“Namun, ia bukan satu perkara mudah dan memerlukan perancangan rapi khususnya melibatkan kos kewangan bagi pembangunan fasiliti yang mencapai standard sepertimana akademi bola sepak lain,” katanya pada Sesi Ramah Mesra Bersama Media, di sini, semalam.

Neow berkata, pihaknya amat berharap kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri serta badan swasta membantu khususnya dari sudut kewangan bagi tujuan pembinaan akademi tersebut.

“Kita perlukan sokongan daripada semua pihak ini kerana ia melibatkan banyak aspek termasuk peruntukan kewangan yang agak tinggi bagi melancarkan sukatan pelajaran serta program yang dijalankan. Bantuan ini juga diperlukan kerana kami tidak mampu menyediakan semua kemudahan itu bersendirian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pada masa ini peratusan keterlibatan kaum Cina dalam arena bola sepak amat rendah dan faktor utama mempengaruhi keadaan itu adalah disebabkan tiada jaminan masa depan yang kukuh.

“Saya lebih melihat kepada faktor jaminan ini dan ia secara tidak langsung mempengaruhi ibu bapa untuk tidak melibatkan anak mereka dengan sukan bola sepak.

“Dari satu sudut, perkara itu yang membuatkan mereka (ibu bapa) meminta anak-anak menceburi sukan lain atau memfokuskan sepenuhnya kepada bidang akademik,” katanya.

Menurut Neow bagi memastikan stigma itu diubah, Perak FC akan menjalin kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Cina Perak dan Kelab Sukan dan Rekreasi Cina Perak (PCRC) khususnya dalam melaksanakan pelbagai program termasuk pertandingan bola sepak untuk kaum Cina di pelbagai peringkat.

“Tujuannya bukan hanya untuk cungkil bakat pemain bola sepak semata-mata sebaliknya inisiatif yang akan digerakkan ini dapat melahirkan jurulatih yang melahirkan lebih ramai bakat baharu khususnya dalam kalangan kaum Cina,” katanya. – Bernama