“Kesemua bahan terlarang ini akan diserahkan kepada Kualiti Alam Sdn Bhd, syarikat yang berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar untuk dilupuskan. Pelupusan perlu dijalankan oleh syarikat berdaftar kerana barangan kes dadah adalah bahan buangan berjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Berjadual) 2005.
“Ini juga menunjukkan ketelusan dan integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan tiada barang kes dadah disalah guna,” katanya pada Majlis Serahan Barangan Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
Dalam pada itu, Mazli berkata, sepanjang tahun ini pihaknya merekodkan sebanyak 739 kes di bawah kategori bekalan melibatkan Seksyen 39B, 39A(2) dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, telah dibuka dan hampir 96 peratus daripadanya berjaya dituduh di mahkamah.
Bagi kategori permintaan yang meliputi Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya pula, sebanyak 1598 kes telah dibuka dan 94.06 peratus daripadanya berjaya dituduh di mahkamah.
“Sepanjang tahun ini juga polis Terengganu telah mengambil tindakan ke atas 838 orang di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Bernama