PASIR MAS – Jawatankuasa Nasional Amanah bagi penggal 2023-2026 pada bulan Disember nanti akan menentukan siapa bakal mengisi jawatan Timbalan Presiden Amanah, yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, setakat ini parti itu baru sahaja memulakan mesyuarat dan masih belum menerima senarai calon-calon.
“Kita tidak boleh buat sebarang spekulasi siapa yang bakal mengisi jawatan yang ditinggalkan oleh Allahyarham. Sebagaimana yang kita tahu sistem di dalam Amanah agak berlainan dengan parti-parti lain seperti UMNO ataupun Pas.
“Kita tidak bertanding untuk satu jawatan, tetapi jawatan itu ditentukan oleh 27 orang (AJK Pimpinan Nasional) yang terpilih di peringkat nasional,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah kawasan Pasir Mas di Dewan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Tendong, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, kesemua 27 calon yang terpilih itu akan bermesyuarat bagi menentukan siapa yang paling layak memegang sebarang jawatan seperti presiden, timbalan mahupun setiausaha.