ROMPIN – Naib juara Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) pada tahun lalu menjuarai kategori terbuka antarabangsa SS1 lelaki peringkat pertama pada kejohanan yang berlangsung di Pantai Rantau Panjang, hari ini.
Kent Jenkinson dari New Zealand, menamatkan saingan sejauh 14 kilometer dengan catatan masa 58 minit 42 saat diikuti dua pendayung adik beradik dari Australia Harry dan Charlie Hewitt di tempat kedua dan ketiga, masing-masing mencatatkan masa satu jam 02:04s dan 1 jam 04:05s.an
Menerusi kenyataan POPIC, kemenangan itu merupakan isyarat awal Jenkisnson yang dilihat cukup bersedia untuk memburu kejuaraan keseluruhan pada kejohanan edisi tahun ini.
“Ia tetap satu perlumbaan yang mencabar walaupun dengan ketiadaan juara bertahan tahun lalu David Mocke.
”Perlumbaan secara berperingkat sebegini tetap memerlukan tenaga yang banyak dan konsisten dan saya perlu berhati-hati dengan pencabar saya.
“Saya perlu lebih fokus untuk kekalkan momentum kerana kelebihan masa kurang tiga minit belum memberi jaminan sepenuhnya, saingan masih terbuka apa apa boleh berlaku,” katanya.
Hasil kemenangan itu Jenkinson layak membawa pulang RM1,500 selaku juara peringkat pertama.
Tambahnya, saingan hari kedua dan ketiga pasti lebih menarik dan beliau perlu berhati-hati dengan kelibat Harry dan Charlie yang lebih muda agar tidak terjerat dengan strategi dua beradik tersebut.
Sementara itu, bagi saingan terbuka antarabangsa SS1 wanita, trio pendayung dari Australia diketuai Peige Wood muncul juara peringkat pertama selepas berjaya menamatkan perlumbaan 14km dengan catatan masa satu jam 8 minit 37.42 saat.
Ia diikuti Selma Jade Alibegovic (1 jam:10:13.24s) di tempat kedua manakala Amanda Bowman di tempat ketiga (1 jam :11:06.15s). – MalaysiaGazette