Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan. Foto WAN NABIL NASIR, 20 OGOS 2023.

IPOH – Seramai 238 penerima Darjah Kebesaran, dan Pingat-pingat Negeri Perak bersempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ke-67, pada istiadat penganugerahan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Ahad ini.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, mendahului senarai adalah Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Dr. Zulkapli Mohamed.

Katanya Wan Zahidi dan Zulkapli masing-masing akan dianugerahkan Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Selain itu ujarnya, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pula masing-masing dikurniakan Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

“Pada istiadat penganugerah itu juga, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Mohd Zaki Mahyudin akan menerima Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk

“Di samping itu, seramai 13 individu akan dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-67 Sultan Nazrin di Laman Seri Ridzuan, di sini, pada Khamis.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin (kiri) pada sidang media sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Negeri Perak Tahun 2023 di Laman Seri Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 02 NOVEMBER 2023.
Antara penerima DPMP adalah Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan dan operasi Perak, Salbiah Mohamed; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Hamdan Ali; Pengarah Pendidikan negeri, Mohamad Fauzi Mahson; Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr Megat Iskandar Megat Abdul Hamid serta Setiausaha Bahagian Kementerian Kewangan, Nor Eni Ismail.

Turut menerima anugerah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Yahanis Yahya; Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Presiden Persatuan Hoki Perak, Mohd. Saiyuti Abd. Samat.

Selain itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Muzafar Shah Mustafa; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Ketua Pegawai Eksekutif CST Auto Group of Companies, P. Chandrasekaran; bekas Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein serta Pakar Kardiologi dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr. Lee Boon Chye.

“Lima pegawai tinggi pasukan keselamatan juga akan dianugerahkan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan iaitu Pengarah Bahagian Geospatial Pertahanan di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Sr Dr Mohd Zambri Mohamad Rabab; Ketua Perhubungan Antarabangsa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Senior Asisten Komisioner R. Suparamaniam serta bekas Ketua Pengarah Kesihatan ATM, Brigedier Jeneral Dr Leong Weng Foon.

“Dua penerima lain bagi DPTS ialah Inspektor Jeneral Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda, Mohd Fadzli Kamal Mohd Mahaldin serta Panglima Dua Briged Infantri, Brigedier Jeneral Asri Shukor,” katanya.

Tambah beliau, sempena sambutan hari keputeraan kali ini juga, Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan 14 Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), 29 Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), 21 Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 43 Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 60 Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 33 Pingat Jasa Kebaktian dan 15 Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

Menurut Mohd Zahidi, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan diadakan dua sesi.

“Sesi pertama melibatkan penganugerahan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran akan dilangsungkan pada hari Ahad ini. Bagi Istiadat sesi kedua pula, ia akan dilangsungkan pada 18 November ini.

“Kedua-dua sesi Istiadat akan diadakan di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar,” jelas beliau lagi.- MalaysiaGazette