KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendoakan kesihatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika ini.
Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan disahkan positif Covid-19 sejak Selasa lepas.
“Saya dimaklumkan bahawa mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur selepas disahkan positif Covid-19.
“Saya doakan semoga Allah SWT memberikan kesembuhan kepada Datuk Seri Najib Razak dan dipermudahkan urusan kepada beliau,” tulisnya dalam Facebook hari ini.
Najib yang sedang menjalani hukuman penjara dimasukkan ke hospital dikejarkan ke hospital dari penjara selepas mengadu demam.
Semalam, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam sidang media di Parlimen turut mengesahkan masalah kesihatan yang sedang dihadapi Najib.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mendedahkan dengan lebih lanjut kerana maklumat sulit.
Bekas Perdana Menteri itu sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan dengan kesalahan rasuah yang dikaitkan dengan dana SRC International. -MalaysiaGazette