KUALA LUMPUR – Gabungan pembangkang optimis tiada lagi ahli Parlimennya yang akan menarik sokongan mereka dan bertindak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia dizahirkan semua ahli Parlimen PN yang mengadakan mesyuarat pada Rabu lalu.
“Dalam perbincangan kita dua malam sudah, tidak ada pun nak tarik sokongan, tidak ada. Pada saya sudah tidak ada, ini (tarik sokongan) adalah mereka yang bermasalah.
“Bila ada seseorang yang ada masalah dengan isu dan agensi tertentu, mereka gunakan ini sebagai senjata untuk tentukan masalah mereka akan selesai jika sokong PMX,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PN hari ini.
Hadir sama Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan beberapa Ahli Parlimennya.
Hamzah berkata demikian mengulas pertanyaan media sama ada akan ada lagi ahlinya yang akan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.
Ia berlaku selepas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menjadi ahli pertama gabungan itu yang menyatakan sokongan kepada Anwar.
Beberapa hari selepas itu, seorang lagi ahli Parlimen PN menyatakan sokongan terbuka kepada Anwar.
Kali ini ia dinyatakan Ahli Parlimen Labuan yang merupakan ahli Bersatu, Datuk Suhaili Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, pihaknya sedang mengumpul bukti-bukti mengenai individu yang mengugut dan melakukan intimidasi kepada ahlinya.
Langkah itu bagi mengukuhkan satu laporan polis yang akan dibuat gabungan itu tidak lama lagi.
“Kita sedang mengumpulkan maklumat kerana kita ambil gambar-gambar mereka yang berjumpa dengan kita, kita nak tengok sama ada orang ini datang daripada mana.
“Dia mudah sahaja, dia akan jawab saya buat ini kerana saya sayangkan perdana menteri dan perdana menteri boleh kata dia tak kenal pun orang ini, biasa sahaja.
“Laporan polis, laporan polis tapi kita juga tahu bahawa ini adalah jawapan yang akan diberikan tetapi yang penting berhenti buat semua benda ini. Itu yang paling penting kepada kita,” katanya lagi.
Hamzah bagaimanapun tidak memperincikan bila laporan polis berkenaan akan dibuat. – MalaysiaGazette