Yaya Toure. Foto Sky Sports.

KUALA LUMPUR – Arab Saudi mendapat suntikan moral menjelang kelayakan Piala Dunia 2026 dengan membawa masuk legenda Barcelona, Yaya Toure sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan negara itu.

Wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano mendedahkan Toure telah meletak jawatan sebagai penolong pengurus Standard Liege selepas mendapat tawaran berkenaan.

Toure bakal menyertai bos lamanya di Manchester City, Roberto Mancini.

Bekas pemain tengah Ivory Coast itu hadir dengan pengalaman luar biasa sebagai pemenang trofi di beberapa kelab termasuk City dan Barcelona.

Toure pernah menjulang Liga Perdana Inggeris, Piala FA Inggeris, La Liga dan Liga Juara-Juara.

Selain itu, adik kepada legenda Arsenal, Kolo Toure itu juga pernah bergelar Pemain Terbaik Afrika selama empat tahun berturut-turut.

Selepas bersara, bekas pemain Olympiakos itu pernah menjadi penolong jurulatih Olimpik Donestsk dan Akhmat Grozny.

Dia  kemudiannya membantu melatih barisan pemain akademi Tottenham Hotspur sebelum menerima tawaran Liege sebagai penolong jurulatih pada musim panas lalu.

Kelibat Toure dijangka menarik perhatian bukan saja pemain Saudi tetapi juga barisan pemain Harimau Malaya.

Ini kerana Malaysia bakal mengadakan aksi persahabatan dengan Arab Saudi sebagai aksi pemanas badan sebelum bermulanya aksi Piala Asia 2023.

Kelibat Toure bakal disaksikan buat kali pertama apabila Arab Saudi melayan kunjungan Pakistan untuk aksi pertama Kumpulan G pada 16 November ini. – MalaysiaGazette