KUANTAN – Lebih 30 penumpang bas ekspres ’disidai’ oleh pengurusan pengangkutan di Terminal Sentral Kuantan di sini setelah menunggu hampir empat jam tanpa sebarang makluman.
Penumpang yang terkandas itu dijadualkan berlepas dari Kuantan ke Kuala Lumpur pada awalnya dijangka lewat dalam lingkungan sejam daripada jadual pelepasan asal.
Namun mereka tidak menyangka ia tertangguh hampir empat jam selain tiada mendapat sebarang makluman berkaitan insiden bas berkenaan rosak.
Muhammad Bakri Abu Bakar rasa kecewa dengan sikap pengurusan bas kerana tidak endah terhadap kebajikan penumpang dan lepas tangan kepada pemandu bas semata-mata.
Difahamkan bas gantian yang tiba di TSK sekitar 4.10 pagi itu adalah bas perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kemaman dan perlu menghantar terlebih dahulu penumpang yang sedia ada ke Kemaman sebelum berpatah balik ke Kuantan dan menuju ke Kuala Lumpur.
Ia sekali gus mengundang risiko kepada pemandu tidak mendapat rehat yang cukup.
”Sebelum ini banyak kali naik bas ekspres lain tetapi dengan bas perkhidmatan syarikat ini kali pertama. Mula dapat makluman bas lewat sejam sahaja melalui WhatsApp namun sudah empat jam lewat sampai tertidur di sini (terminal).
”Bila bas sampai pula kami dimaklumkan bas akan ke Kemaman terlebih dahulu bagi menurunkan penumpang sedia ada sedangkan saya beli tiket dari Kuantan ke Terminal Bersepadu Sentral (TBS), pukul berapa saya akan sampai?” soalnya.
Jelasnya pihak pengurusan seharusnya menyediakan bas alternatif segera dan memaklumkan perkembangan kelewatan bas bagi memastikan penumpang dapat merancang perjalanan.
Ekoran kelewatan jadual bas tersebut Muhammad Bakri terpaksa membatalkan hasrat bagi menghadiri program yang dirancang di ibu kota.
Sementara itu, hasrat 11 sekeluarga bercuti di Pulau Langkawi tergendala kerana mereka sepatutnya menaiki penerbangan pada tengah hari tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) namun tidak dapat tiba pada waktunya kerana kelewatan bas yang sama.
Era Fazira Abdul Rahman, 28, berkata, dia dan keluarga bukan sahaja menanggung kos kerugian tiket bas malahan pengangkutan alternatif untuk ke KLIA.
”Perbaikilah servis kepada pengguna, kami rugi lebih RM250 kos tiket kerana tidak dimaklumkan awal. Semoga pihak berwajib dapat membayar ganti rugi kepada penumpang yang terkandas lama sehingga menanggung kerugian.
”Impian bercuti mungkin sampai tapi terlewat sebab kena cari kenderaan lain, kalau terlepas penerbangan lagi banyak kos kerugian yang perlu kami tanggung,” tambahnya.
Menurut Era Fazira, kejadian bas lewat tiba perlu ditangani kerana ia akan mengurangkan kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan syarikat pengendali bas selain menyebabkan rancangan aktiviti penumpang terjejas.
Manakala bagi Li Zing Lee, 36, bas ekspress berkenaan sering lewat dan kejadian menunggu bas berjam-jam ini bukanlah kejadian kali pertamanya sepanjang pengalamannya menaiki bas berkenaan.
”Kalau dalam sebulan, ada empat kali memang selalu lambat,” dakwanya.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati beberapa penumpang yang sepatutnya menaiki bas 12.55 malam ke Kuala Lumpur akhirnya terpaksa akur menumpang bas yang tiba pukul 4 pagi yang meneruskan perjalanan ke Kemaman terlebih dahulu.
Maka ada sebahagiannya pulang kerana kecewa dan letih kerana terpaksa menunggu terlalu lama. – MalaysiaGazette