Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bergambar bersama Duta Palestin ke Malaysia pada Majlis Pelepasan Penghantaran Bantuan Kemanusiaan Ops Ihsan ke Gaza Palestin di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2023.

SEPANG – Pelepasan pertama bantuan misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza selamat berlepas jam 11 malam tadi selepas tertangguh selama seminggu.

Pesawat Boeing, B737 yang memuatkan 20 tan bantuan terdiri daripada barang-barang keperluan dilepaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan disaksikan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

“Alhamdulilah. Penghantaran pertama pada malam ini adalah sumbangan daripada kutipan yang dibuat dari orang ramai dan keperluan yang telah disenaraikan kepada kami bagi pihak kerajaan dan NGO akan dihantar melalui penerbangan yang selanjutnya dan juga kapal,” katanya dalam sidang media selepas pelepasan bantuan kemanusiaan tersebut.

Menurut Ahmad Zahid, barang-barang keperluan itu bernilai hampir RM7 juta khusus untuk rakyat Palestin yang terkesan dengan situasi perang.

Sumbangan ini akan diterbangkan terus ke Al-Arish, Mesir sebelum dibawa dengan sejumlah trak ke wilayah Gaza.

Penghantaran kali kedua dijangka dilakukan pada minggu depan.

Sementara itu, Walid mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza.

“Terima kasih Malaysia, syukran!, katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Anwar pagi tadi meluluskan sejumlah peruntukan untuk membiayai pembelajaran pelajar-pelajar Palestin yang berada di negara ini.

Ia adalah sebahagian daripada peruntukan daripada RM100 juta yang disalurkan dalam bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat jemaah menteri tadi telah menyatakan persetujuan untuk menggunakan sebahagian daripada RM100 juta kutipan yang telah dibuat oleh kerajaan Malaysia dan Kementerian Luar untuk digunakan kepada pelajar Palestin yang berada di Malaysia bagi membiayai sebahagian daripada kos sara hidup mereka.

“Kos pengajian dan beberapa kos lain yang terlibat. Ini kerana pembiayaan terutamanya dariapda ibubapa mereka tidak dapat sampai sebabkan keluarga mereka telah tiada lagi disebabkan pengeboman atau disebabkan punca kewangan yang telah terputus atau disebabkan oleh sistem untuk penghantaran telah juga terputus,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast