BINTULU – Sebanyak 22,731 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak hari ini.
Sebanyak 14 pusat mengundi membabitkan 45 saluran akan dibuka pada 7.30 pagi dengan 11 daripadanya ditutup pada 5.30 petang manakala tiga lagi pada 4 petang.
Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebanyak 73 kertas undi pos kepada pemilih berdaftar yang layak termasuk 43 anggota dan pegawai polis bagi PRK berkenaan.
Tempoh kempen PRK Jepak berlangsung selama dua minggu sejak 21 Okt lepas.
PRK berkenaan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca cerah pada sebelah pagi dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa kawasan pada sebelah petang.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK ini mencapai 65 peratus.
Semasa meninjau persiapan SPR di Pusat Penjumlahan Undi PRK Jepak di Dewan Suarah di sini pada Khamis, beliau berkata keputusan dijangka diumum pada 9 malam.
PRK Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya untuk hampir enam penggal, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip daripada GPS pada 15 Sept lepas.
Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang diadakan pada Disember 2021, Allahyarham Talib yang menyandang kerusi DUN Jepak sejak 1996 berjaya mempertahankannya dengan memperoleh majoriti 4,243 undi.- BERNAMA