Dr. Zakir Naik

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Dr. Zakir Naik memutuskan untuk menyumbang bayaran saman bekas Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy berjumlah RM1.52 juta kepada rakyat Palestin.

Zakir berkata, sumbangan tersebut adalah demi melindungi kawasan suci ketiga umat Islam Masjid Al Aqsa dan rakyat Palestin.

Ia juga bagi melaksanakan fardu kifayah atau kewajipan bersama bagi pihak seluruh umat Islam dalam mempertahankan tempat suci umat Islam tersebut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Mahkamah Tinggi Malaysia kerana mengarahkan Ramasamy, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II untuk membayar saya RM1.52 juta sebagai ganti rugi fitnah.

“Saya ingin menderma jumlah penuh RM1.52 juta ($320,000) kepada perjuangan Palestin. Saya berdoa agar Allah menerima daripada saya usaha yang rendah ini keranaNya,” kata beliau dalam kenyataan.

Zakir berdoa agar agar Allah memberikan keteguhan dan kemenangan kepada penentangan Palestin.

“Semoga Dia meringankan penderitaan saudara-saudara kita di Palestin, menguatkan mereka melawan penindas mereka, dan memasukkan syuhada mereka ke darjat tertinggi di Syurga. Amin,” katanya.

Pada 2 November lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan bekas Ramasamy membayar ganti rugi lebih RM1 juta kerana memfitnah pendakwah bebas tersebut.

Ini susulan keputusan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz yang membenarkan saman yang difailkan oleh Zakir.

Hakim juga memerintahkan defendan (Ramasamy) membayar ganti rugi itu kepada plaintif (Zakir) dalam tempoh 30 hari mulai hari ini. Saman itu difailkan pada Oktober dan Disember 2019.

Hari ini genap empat minggu Israel menyerang penempatan Palestin di Gaza yang menyebabkan lebih 9,000 nyawa termasuk kanak-kanak dan wanita maut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast