Kerja-kerja penghantaran bekalan makanan ke dalam pesawat untuk penerbangan dari KL-JB. Foto FB Wee Ka Siong.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kesal akibat kelewatan dalam penghantaran makanan dalam pesawat Malaysia Airline Berhad (MAS) menyebabkan penerbangannya ke Johor Bahru lewat lebih sejam.

Ka Siong berkata, beliau dimaklumkan pesawat belum dibenarkan berlepas ketika tiba di Pintu Pelepasan A2, jam 9.15 pagi tadi kerana kapal terbang berkenaan menunggu bekalan makanan yang masih belum sampai.

Katanya, ketika itu beliau bersama Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Soon yang kebetulan ada mesyuarat di Johor Bahru.

Maka, mereka menunggu semula di MAS Golden Lounge.

“Pada jam 9.35 pagi, dari MAS Golden Lounge, kami perhatikan sebuah kenderaan AeroDarat tiba di pesawat. Selepas 13 minit, kenderaan AeroDarat meninggalkan pesawat selepas selesai pemunggahan.

“Apa yang menyedihkan ialah akibat daripada kelewatan mengendalikan bekalan makanan ini, maka pesawat yang kami naiki hanya berlepas pada jam 10.20 pagi berbanding 9.30 pagi seperti yang dijadualkan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Ka Siong berkata, beliau yakin insiden ini boleh dielakkan sekiranya ada koordinasi yang lebih baik.

Tambahnya, beliau boleh menerima ‘kekecohan’ selepas kontrak bekalan makanan oleh Brahim’s ditamatkan pada pertengahan tahun ini.

“Akan tetapi, pihak MAS telah melaksanakan pelan alternatif berbulan-bulan sudah, tapi bekalan makanan masih lewat dihantar ke pesawat. Apa sudah jadi?.

“Mohon pihak pengurusan MAS mengambil tindakan serius terhadap isu ini. Harap kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast