KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul perlu menjelaskan pelaksanaan cadangan memaparkan ahli-ahli Parlimen yang didapati tidak hadir atau ponteng sidang Parlimen.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau bersetuju dengan langkah-langkah penambahbaikan itu namun langkah pelaksanaannya perlu dijelaskan.
Ini kerana, kataya, jika ahli Parlimen itu di pihak kerajaan sudah pasti seorang anggota dewan yang bertaraf menteri ataupun timbalan menteri mempunyai banyak urusan yang menyebabkan mereka tidak berkesempatan untuk hadir Dewan Rakyat.
“Saya setuju. Tapi, sebenarnya kita nak siar ini siapa dan macam mana…yang paling penting kita nak pastikan bahawa ada menteri, timbalan menteri. Mereka ini bekerja di jawatan eksekutif.
“(Menteri, timbalan menteri) kadang-kadang tak kesempatan datang di Parlimen pagi, urusannya sebagainya…dan saya nampak kalau dia ada masa dia akan datang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Penyampaian Sumbangan Deepavali, di Maluri, di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai kenyataan Johari semalam yang mahu nama-nama ahli Parlimen yang didapati dengan sengaja tidak hadir atau ‘ponteng’ sidang Parlimen mungkin akan dipaparkan di laman web Dewan Rakyat supaya pengundi kawasan parlimen mereka maklum perkara tersebut.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, ia antara beberapa penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan kehadiran ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi serta kawasan Parlimen yang diwakili.
Mengulas lanjut, Johari berkata, setakat ini kehadiran beliau pada sesi Dewan Rakyat sangat cemerlang.
Ditanya, sama ada pengumuman yang dibuat Speaker Dewan Rakyat itu sebagai memberi amaran kepada pembangkang, Johari berkata, sebagai ketua majlis mesyuarat, Speaker perlu menjaga kedua-dua belah pihak dan tidak boleh menyebelahi kepada satu pihak sahaja.
Bagaimanapun katanya, semua ahli Parlimen perlu mempunyai tanggungjawab untuk hadir sidang Dewan Rakyat.
“Tapi kalau ada tugasan pada hari itu, dia (ahli Parlimen) kena nak minta excuse dari Speaker.
“Selalunya, siapa yang tak ada (tidak hadir), dia akan beritahu Speaker tak hadir hari ini kerana kerana pergi luar negara ke, kena apa ini, ada misi tertentu ke macam syaratlah yang ada. Jadi, speaker mesti diberitahu,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Cadangan nama ahli Parlimen ponteng sidang Dewan Rakyat dipapar di laman web