Anwar Ibrahim menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR – Bantuan tunai khas secara bulan akan dipertimbangkan untuk melepasi paras garis kemiskinan (PGK) makanan bagi isi rumah yang tidak berkemampuan menyertai aktiviti menjana pendapatan (atas faktor umur, kesihatan).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu merupakan antara cadangan yang dipersetujui kerajaan untuk dilaksanakan dalam usaha menoktahkan miskin tegar serta cabaran-cabaran yang dihadapi.

Dua lagi cadangan ialah semua agensi dan kementerian menyemak dan mengemaskini data untuk mengesahkan jumlah penerima isi rumah miskin tegar yang telah dibantu dan menjana pendapatan lebih PGK makanan dalam 2023 dan semua agensi perlu mengenal pasti isi rumah yang boleh menyertai program dalam tempoh berbaki tiga bulan dan diserapkan di dalam program-program yang ditawarkan mengikut kesesuaian.

Menurut kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Anwar berkata, kerajaan telah banyak melaksanakan usaha dan program-program untuk membasmi miskin tegar.

Antaranya program terkait bantuan tunai bulanan, naik taraf kediaman, pemberian modal perniagaan, latihan kemahiran dan penjanaan pendapatan.

Usaha-usaha ini telahpun dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi dalam usaha menarik keluar rakyat dari belengu miskin tegar.

“Kerajaan sentiasa berusaha memastikan bahawa segala perancangan pembangunan yang hendak dilaksanakan memberi nilai yang terbaik kepada negara dan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan bagi mencapai matlamat Malaysia Madani.

Dalam pada itu, perdana menteri memberitahu, kerajaan akan melaksanakan tiga tindakan segera untuk menambahbaik proses-proses dalam pelaksanaan projek perbelanjaan pembangunan (DE) negara.

Menurut beliau, tindakan-tindakan tersebut ialah pembentukan pasukan rentas kementerian melibatkan Kementerian Ekonomi, Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengaliran dan Saliran untuk menyemak dan menyediakan kerangka penambahbaikan untuk diluluskan secara bersepadu oleh kerajaan.

Ia termasuk keputusan dasar ke arah desentralisasi dan pemberdayaan pelaksanaan projek dan kawalan peruntukan kepada agensi pelaksana yang diimbangi dengan tadbir urus yang ketat, dan keputusan dasar ke arah pemusatan (sentralisasi) pelaksanaan projek teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan penentuan spesifikasi/kos di MAMPU untuk mengawal kos ICT dan sebagai persediaan ke arah GovTech.

Beliau menambah, tindakan itu selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang dipengerusikannya hari ini mendapati perbelanjaan pembangunan sebenar semakin mengecil secara relatif setiap tahun, walaupun belanjawan menunjukkan peningkatan besar.

Hal ini boleh memberi kesan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Tambahnya, selain itu, pelaksanaan projek pembangunan yang bermasalah dan mengalami kelewatan telah menyebabkan peningkatan kos dan memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, didapati penentuan spesifikasi dan penilaian kos projek-projek ICT sukar dilakukan dengan berkesan, dan proses semakan kos adalah sukar tanpa satu piawai anggaran kos, boleh menyebabkan pertindihan kerja yang berulang dan kenaikan kos projek ICT. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.