KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail yang meninggal dunia pada Khamis lalu.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor sebelum memulakan persidangan hari ini mengajak semua Ahli parlimen bertafakur dengan cara masing-masing.
Katanya, keluarga Natraf diharap tabah menerima pemergian Allahyarhamah.
“Saya mengharapkan seluruh ahli keluarga Allahyarhamah terus tabah dalam menghadapi situasi ini.
“Kita berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Allahyarhamah serta ditempatkan dalam kalangan orang soleh serta beriman,” katanya.
Natrah Ismail meninggal dunia pada usia 73 tahun akibat kanser di Hospital Segamat, Johor pada minggu lalu.
Beliau yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Wanita PKR Pusat menghembuskan nafas terakhir kira-kira 9 malam.
Natrah dipilih menjadi Ahli Parlimen Sekijang pada Pilihan Raya Umum tahun 2018. – MalaysiaGazette