KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lagi individu bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan i-Serve dan pengubahan wang haram pada awal pagi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek pertama seorang lelaki, 58, ditahan kira-kira pada jam 3 pagi di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Katanya, suspek bagi membantu siasatan berhubung kes seorang individu bergelar ‘Datuk’ yang mempunyai saham dalam sebuah syarikat penerbangan, MyAirlines.
“Hasil daripada tangkapan suspek itu pada pagi ini (Isnin), polis turut berjaya membuat rampasan iaitu sebuah telefon bimbit dan sekeping pasport milik suspek tersebut.
“Hasil soal siasat awal mendapati, suspek telah mula berkenalan dan berkawan dengan individu bergelar Datuk itu sekitar tahun 1995.
“Malah suspek menerusi siasatan juga mengaku bersama Datuk itu menubuhkan syarikat i-Serve Payment Gateway Sdn Bhd sekitar tahun 2019,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sementara itu, Ramli memberitahu, suspek juga mengaku memegang jawatan pengarah di beberapa buah syarikat seperti Beauty Treasure Sdn Bhd, I-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd serta I-Serve Travel and Tours Sdn Bhd.
Beliau katanya, bertindak atas hasil maklumat soal siasat dan penahanan suspek itu, pihaknya menyerbu sebuah kondominium di Sentul, dekat sini, jam 4.15 pagi tadi yang membawa kepada penahanan suspek wanita berusia 57 tahun.
“Pemeriksaan lanjut ke atas wanita itu seterusnya berjaya membawa kepada rampasan sebuah kereta jenis Mercedes Benz bersama kunci, sebuah telefon bimbit dan sekeping pasport perjalanan dalam serbuan tersebut.
“Siasatan awal polis mendapati wanita itu merupakan seorang pekerja di sebuah syarikat insurans namun dia tidak mengakui penglibatannya dalam kes penipuan pelaburan i-Serve.
“Kedua-dua suspek kini telah ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Jalan Duta Kuala Lumpur hari ini bagi permohonan reman untuk siasatan lebih lanjut,” ujarnya.
Tangkapan dua suspek menjadikan seramai 10 individu ditahan setakat ini. -MalaysiaGazette