Israel terus melakukan pengeboman di Gaza yang menyebabkan hampir 10,000 terbunuh.

TEL AVIV – Pasukan Petahanan Israel (IDF) sekali lagi mengeluarkan arahan supaya saki baki penduduk yang masih berada di utara Gaza untuk lari ke kawasan selatan.

Jurucakap Bahasa Arab IDF Lt. Kol. Avichay Adraee mengeluarkan arahan tersebut di platfrom X hari ini dengan mendakwa Israel akan membuka semula koridor untuk orang awam Gaza melarikan diri.

Beliau yang menulis mesej di dalam bahasa Arab berkata, Israel akan membuka Jalan Salah-al-Din untuk lalu lintas ke selatan antara 10 pagi dan 2 petang hari ini.

“Untuk keselamatan anda, manfaatkan masa untuk bergerak ke selatan melangkaui Wadi Gaza,” katanya, mengulangi desakan tentera Israel sejak sekian lama supaya orang awam bergerak ke selatan, di mana operasi IDF lebih terhad.

Menurut laporan, lebih 800,000 penduduk di bahagian utara telah meninggalkan kediaman masing-masing menuju ke selatan.

Pelarian terbabit menumpang di hospital, rumah ibadat dan penduduk yang sudi memberikan tempat tinggal.

Bagaimanapun kesengsaraan dan keselamatan mereka tidak terjamin walaupun berjaya tiba di selatan Gaza kerana Israel turut menjadikan kawasan itu sebagai sasaran.

Sehingga semalam hampir 10,000 rakyat Palestin telah dibunuh dalam keganasan yang masuk hari ke-31. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast