ANKARA – Seorang profesor undang-undang di Universiti Chicago melahirkan kebimbangan terhadap pemecatan beberapa wartawan dan editor media kerana menentang dasar Israel.
Prof Genevieve Lakier menyifatkan situasi ini seperti McCarthyisme baharu iaitu penindasan politik dan penganiayaan terhadap individu berhaluan kiri.
McCarthyisme ini merupakan kempen yang menyebarkan ketakutan terhadap dakwaan pengaruh komunis dan Soviet ke atas institusi Amerika dan pengintipan Soviet di Amerika Syarikat pada akhir 1940-an hingga 1950-an .
“Rasanya seperti McCarthyisme baharu. Kita akan lihat apa yang berlaku, tetapi Liga Anti-Fitnah menulis surat kepada presiden kolej mencadangkan mereka melihat kepada aktivis pelajar kerana terlibat dalam sokongan keganasan, bilangan surat rasmi atau separa rasmi yang menyatakan kebimbangan mengenai ucapan dan kemudian pemecatan berlaku.
“Semua ini seperti penindasan ucapan yang sudah lama kita tidak lihat,” kata Genevieve Lakier kepada laman web berita Politico yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Beliau membuat kenyataan itu susulan ramai editor dan wartawan di AS yang dipecat selepas menyatakan pendirian masing-masing menentang serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Beberapa pelajar universiti yang mengatakan Israel melakukan “pembunuhan beramai-ramai” di Gaza juga telah ditarik balik tawaran kerja mereka.
Palestine Legal, sebuah pertubuhan advokasi yang berpangkalan di AS , yang mana Lakier adalah pemiliknya berkata, mereka telah bertindak balas terhadap lebih 260 kes “mata pencarian atau kerjaya” individu yang disasarkan kerana pandangan anti-Israel mereka.
Lakier turut bimbang terhadap tekanan terhadap kebebasan bersuara di negara ini.
“Universiti telah terancam sejak sekian lama. Kami telah melihat ada undang-undang yang mengenakan sekatan ke atas mereka yang terlibat dalam kempen boikot terhadap Israel, beberapa daripadanya telah dibatalkan, beberapa daripadanya tidak,” katanya.
Tentera Israel telah meluaskan serangan udara dan darat terhadap Semenanjung Gaza, yang telah berada di bawah serangan udara tanpa henti sejak kumpulan Palestin Hamas melancarkan serangan mengejut pada 7 Oktober 2023.
Jumlah rakyat Palestin yang terbunuh dalam pengeboman Israel di Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 9,770, Kementerian Kesihatan di kawasan yang disekat itu mengumumkan Ahad.
“Jumlah kematian akibat pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober ialah 9,770, termasuk 4,800 kanak-kanak dan 2,550 wanita,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kira-kira 1,540 warga Israel telah terbunuh. – Agensi