KUALA LUMPUR – Sehingga kini, tiada perbincangan berkenaan tol percuma untuk pengguna pada perayaan Deepavali yang akan disambut 12 November ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pengumuman akan dibuat sekiranya perkara tersebut diluluskan oleh Kementerian Kewangan (MOF).
“Sebenarnya kita tahu trend negara apabila ada cuti bercantum contoh Jumaat hari perayaan bersambung Isnin, sudah pasti masyarakat kita akan pulang ke kawasan masing-masing.
“Kalau ada pengumuman, MOF akan membuat pengumuman tersebut melalui Kementerian Kerja Raya. Maknanya kita dapat kelulusan MOF barulah Kementerian Kerja Raya umumkan, tapi saya menyokong Jelutong tapi terpulang kepada MOF,” katanya ketika menjawab soalan daripada Rayer.
Terdahulu Ahli Parlimen Jelutong itu meminta pengesahan sama ada kerajaan akan memberi pelepasan kutipan tol di sebuah lebuh raya sempena perayaan berkenaan.
Perayaan Hari Deepavali pada tahun ini akan disambut oleh masyarakat Hindu di Malaysia pada tarikh 12 November 2023 bersamaan dengan hari Ahad.
Ini bermakna, cuti umum tambahan dianjakkan kepada Isnin iaitu 13 November.-MalaysiaGazette