Sebahagian wakil syarikat pemula menerima hak pelesenan harta intelek UMT.

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya mendaftarkan sebanyak 60 hak harta intelek dengan 40 produk didaftarkan sebagai hak milik bagi tahun 2023.

Daripada jumlah hak harta intelek itu, 13 harta intelek didaftarkan sebagai rahsia dagangan serta empat paten yang didaftarkan dan selebihnya adalah lain-lain harta intelek.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, setakat ini UMT mempunyai lebih 686 hak harta intelek yang terdiri daripada paten, rekacipta industri, utiliti inovasi, cap dagangan, hak milik dan rahsia dagangan.

Menurutnya, UMT mempunyai lebih 600 hak harta intelek yang berpotensi untuk diketengahkan.

“UMT memiliki banyak produk berpotensi yang boleh dikomersialkan segera dengan Tahap Ketersediaan Teknologi (TRL) dari skala 4 hingga 8.

“UMT juga mempunyai sembilan buah syarikat pemula yang didaftarkan oleh penyelidik bagi mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr. Mazlan berkata demikian sempena Majlis Penyerahan Dokumen Perjanjian Pelesenan antara UMT dan enam syarikat pemula iaitu Ocean Hydro Sdn Bhd, Conservation Management Solutions Sdn Bhd, SR Neotech Sdn Bhd, WMM Marketing, Big Bee Honey Sdn Bhd dan K Bees Sdn Bhd.

Tambah beliau, UMT telah berjaya mencapai hasil pengkomersialan melalui perjanjian pelesenan berjumlah RM200,000.

“Pencapaian ini membuktikan komitmen dan kerja keras penyelidik UMT menjadikan penyelidikan akademik kami berguna untuk komuniti yang lebih luas dan kami telah berjaya mengubah pengetahuan menjadi produk dan perkhidmatan yang boleh membawa manfaat sebenar kepada masyarakat,” ujarnya. – MalaysiaGazette