PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan ‘lampu hijau’ kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk menyiasat mana-mana menteri, pegawai kerajaan termasuk pegawai khas kepada Anwar sendiri, sekiranya wujud elemen rasuah.
Mendedahkan perkara tersebut, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata Anwar sebagai seorang individu yang serius dalam membanteras elemen rasuah, pernah memberitahunya untuk tidak menunggu arahan beliau untuk melakukan siasatan ke atas mana-mana mereka yang terpalit isu rasuah.
“Pernah dia (Anwar) berkata kepada saya, Azam, kalau sekiranya ada pegawai kerajaan, menteri-menteri kaya ke atau pegawai khas saya ke, atau mana-mana pegawai khas, kalau sekiranya anda rasa ada mereka melakukan rasuah, sila siasat.
“Jangan tunggu untuk arahan atau kebenaran dari saya, Saya berikan anda kebenaran untuk menyiasat mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti peringkat Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini hari ini.- BERNAMA