Bekas pengarah sebuah syarikat barangan jualan elektrik didakwa atas 11 pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Bekas pengarah syarikat barangan elektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 11 tuduhan pecah amanah hasil jualan peti sejuk berjumlah RM46,000.

Tertuduh, Wong Yie Hang, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid dan Mohammad Khalid Ab Karim.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Yie Hang dengan curangnya melakukan pecah amanah jenayah ke atas wang jualan 23 buah peti sejuk bernilai RM46,000 kepada sebuah syarikat swasta bagi kegunaan sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 8 pagi hingga 5 petang pada November 2019 hingga September 2021 di sebuah pejabat di Wisma Seri Perak, Jalan Perak, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Yie Hang dibenarkan ikat jaminan RM20,000 bagi kesemua 11 pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Najihatul Idayu Mohd Azuyar dan S. Preeya Darrsini.

Ketika prosiding, Nur Najihatul Idayu meminta mahkamah menawarkan wang jaminan berjumlah RM6,000 bagi setiap pertuduhan.

Mazdi kemudian menetapkan jaminan RM14,000  dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan selain menetapkan tiga syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri setiap awal bulan di balai polis, pasport perlu diserahkan kepada mahkamah serta dilarang mengganggu dan berjumpa saksi pendakwaan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan tertuduh didakwa dengan enam pertuduhan berasingan, Preeya Darrsini tidak mencadangkan jaminanan terhadap tertuduh dan sekiranya dibenarkan hendaklah pada jumlah yang tinggi.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Md Yusuf Md Idris memohon simpati mahkamah memberikan jaminan pada kadar rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan ibu bapa serta adik masih bersekolah selain wang jaminan itu adalah bertujuan tertuduh hadir ke mahkamah bukan menghukumnya.

Hakim Mohammad Khalid kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kesemua enam pertuduhan berserta seorang penjamin serta syarat tambahan yang sama.

Mahkamah menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast