KUALA LUMPUR – Penang FC merehatkan ketua jurulatihnya, Chong Yee Fatt dan Penolong Ketua Jurulatihnya, Manzoor Azwira Abd Wahid direhatkan sehingga selesai Liga Super musim 2023 ini.

Keputusan itu susulan kegagalan kelab melangkah ke pentas akhir Piala Cabaran MFL 2023 dan prestasi yang membimbangkan dalam persaingan Liga Super 2023.

“Untuk tiga lagi baki perlawanan Liga Super, pihak pengurusan memutuskan semua pengendalian latihan dan penyusunan urusan perlawanan menentang Sri Pahang FC dan Terengganu FC di laman sendiri dan perlawanan terakhir menentang JDT FC akan dikendalikan oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli (caretaker).

“Sehubungan dengan keputusan Pengurusan di atas, adalah diharapkan para peminat bolasepak di Pulau Pinang dapat turun beramai-ramai memberikan semangat dan sokongan kepada Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan para pemain kita yang akan menggalas tugas berat ini,” kata kelab itu di Facebook miliknya sebentar tadi. – MalaysiaGazette