JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan meneruskan program pagi tanpa kenderaan, dikenali ‘JB Car Free Morning’ pada setiap hari Sabtu minggu kedua setiap bulan di Johor Bahru Sky Screen (Pejabat MBJB, Jalan Dato’ Onn, Johor Bahru) antara jam 7.00 pagi hingga 9.00 pagi.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman berkata, ia merupakan usaha berterusan menjadikan bandar raya Johor Bahru sebagai sebuah bandar raya yang hijau, mampan dan rendah karbon.
“Istimewanya sempena penganjuran Asia Pacific Climate Week (APCW) 2023 di bandar raya Johor Bahru, MBJB akan turut menganjurkan APCW Fun Run 2023 di JB Car Free Morning untuk memeriahkan lagi serta mewar-warkan acara induk APCW yang bakal berlangsung pada 13 hingga 17 November 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.
“Lebih menarik lagi, MBJB telah menjenamakan semula program ‘JB Car Free Morning’ dari ‘JB Car Free Day’ serta mengorak langkah ke arah kerjasama strategik penganjuran JB Car Free Morning bersama-sama pihak OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) yang bakal bermula pada bulan Januari 2024.
“Penganjuran bersama rakan strategik seperti OCBC Bank ini bakal meletakkan JB Car Free Morning ke tahap yang lebih baik dari segi penganjurannya, penyertaan dari orang awam, publisiti yang luas serta prospek kerjasama dan penyertaan dari peserta di peringkat antarabangsa khususnya dari negara jiran,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Noorazam, kerjasama itu penting bagi menyuntik lebih banyak pengisian program sampingan JB Car Free Morning dengan mengangkat JB Car Free Morning sebagai satu platform kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan bersama agensi kerajaan, pihak swasta, NGO dan orang awam.
Tambah beliau, sebagai menandakan permulaan kerjasama strategik MBJB-OCBC, bank tersebut akan menaja 2,000 beg ‘drawstring’ edisi terhad secara percuma kepada peserta JB Car Free Morning pada minggu ini sempena penganjuran Asia Pacific Climate Week (APCW) 2023.
Pemberian beg itu bertujuan mengalakkan penggunaan beg kitar semula, dan pengagihannya akan dilaksanakan selepas pelepasan peserta di hadapan Pejabat OCBC Bank Johor Bahru, Jalan Ibrahim. – MalaysiaGazette