KUANTAN – Seramai 30 individu telah dipanggil bagi membantu kertas siasatan berhubung kesmengaibkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang tersasul mengatakan ‘Palestin Hancur’ pada 28 Oktober lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua individu berkenaan telah dipanggil membantu siasatan isu penularan video berkenaan pada Himpunan Pahang For Palestine di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
“Sebanyak 35 laporan polis telah diterima di seluruh Pahang berhubung kes berkenaan yang mendapat perhatian netizen.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika sidang media di Ibupejabat Polis Kontinjen Pahang hari ini.
Menurut Yahaya, pengawal penyiasat telah memohon bantuan analisa daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi membantu menyiasat kes berkaitan.
Beliau berkata, tindakan susulan akan diperoleh menerusi pengumpulan data daripada SKMM bagi melengkapkan siasatan.
Terdahulu, video Menteri Besar Pahang yang tersasul dan tidak disengajakan telah menyebut “Palestin hancur, Palestin hancur” ketika berucap mendapat reaksi dan kritikan pelbagai pihak.
Namun beliau tersedar selepas ditegur rakan sejawat dan membetulkan kekhilafannya dalam perhimpunan Sabtu minggu lalu memohon maaf ekoran terlalu bersemangat sehingga tersalah sebut.
Aksi tersebut ketika menyampaikan ucapan menghentam perbuatan Israel terhadap rakyat Palestin di hadapan kira-kira 10,000 peserta himpunan. – MalaysiaGazette