Kerja nyah cemar asid berkenaan dilakukan menggunakan serbuk soda dan chemical binder oleh pasukan Hazmat di Teluk Kumbar hari ini.

BALIK PULAU – Tiga individu yang terdiri daripada guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bayu di Teluk Kumbar sini dikejarkan ke hospital selepas terdedah dengan sisa tumpahan asid nitrik hari ini.

Ketua Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Rohaizal Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 10.16 pagi sebelum BBP Seri Balik Pulau dengan dibantu Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) BBP Bayan Baru bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, kita dapati botol asid jenis niktrik berkuantiti satu liter tumpah di dalam bilik makmal sekolah itu.

“Cecair asid berkenaan dipercayai terdedah dan mengenai ketiga-tiga mangsa yang berusia antara 32 hingga 44 tahun.

“Susulan itu, kita melakukan neutralising ke atas semua mangsa dengan menggunakan air sebelum membawa mereka ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Anggota bomba melakukan kerja-kerja menyah cemar asid nitrik di makmal SMK Seri Bayu, Teluk Kumbar hari ini.

Tambah Rohaizal, pasukan HAZMAT kemudian bertindak melakukan kerja nyah cemar cecair asid berkenaan menggunakan serbuk soda dan chemical binder di dalam makmal itu.

“Kita difahamkan kejadian berlaku selepas seorang daripada mangsa melakukan pemindahan cecair itu namun tanpa sengaja ia tertumpah.

“Ketika mereka (staf) melakukan proses pembersihan, asid berkenaan mengenai kulit hingga mengakibatkan mereka mengalami kegatalan,” katanya.

Operasi tamat pada jam 12.59 tengah hari. – MalaysiaGazette