Seramai 789 mangsa banjir yang terdiri daripada 199 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat hari ini di Selangor.

KUALA LUMPUR – Seramai 789 mangsa banjir yang terdiri daripada 199 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat hari ini di Selangor.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Ghazali Abd Rahman berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding 679 mangsa yang direkodkan sebelum ini di enam daerah yang terjejas banjir ketika ini.

“Daerah yang paling terjejas ialah Sepang dengan menyaksikan seramai 475 mangsa banjir membabitkan 126 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil, Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali, Dewan MPKK Kampung Jenderam Hilir serta Dewan Orang Ramai Taman Gemilang.

“Manakala satu PPS dibuka di daerah Hulu Langat iaitu di Sekolah Kebangsaan Bangi yang menempatkan seramai 83 mangsa banjir daripada 19 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ghazali, setakat ini, sebanyak empat PPS beroperasi di  daerah Kuala Langat dan Hulu Langat.

Dua PPS telah dibuka di Daerah Kuala Langat menempatkan seramai 72 mangsa di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang dan PPS Dewan Orang Ramai Dato Hormat, Seri Cheding.

“Di Hulu Langat, dua PPS beroperasi di Sekolah Kebangsaan Bangi menempatkan seramai 87 mangsa banjir manakala PPS Sekolah Kebangsaan Ulu Semenyih menempatkan seramai 32 mangsa.

“Manakala masing-masing satu PPS dibuka di daerah Petaling dan Hulu Selangor untuk menempatkan mangsa terjejas banjir.

“PPS Dewan Camelia Putra Height bagi daerah Petaling menempatkan seramai 110 mangsa terdiri daripada 24 keluarga manakala seramai 13 mangsa melibatkan dua keluarga ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Taman Desa Hulu Yam Bharu di Hulu Selangor,” ujarnya. – MalaysiaGazette