Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak yang tular baru-baru ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan perbuatan buli dan gangguan seksual di semua institusi di bawah kelolaannya.

Katanya, kementerian berusaha memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara.

“Salah laku buli dan gangguan seksual adalah salah laku berat dan tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak,” kata KPM.

Menurut kementerian tersebut, garis panduan bagi menangani salah laku buli dan gangguan seksual yang telah dilancarkan September lalu merupakan bukti komitmen KPM terhadap isu berkenaan.

“Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 12 dan 13 Tahun 2023, bertarikh 3 November 2023 perlu dijadikan panduan bagi menangani gejala buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan KPM,” katanya.

Tambahnya, KPM menyediakan tiga saluran utama untuk orang ramai termasuk murid, ibu bapa dan masyarakat membuat laporan mengenai kes buli dan gangguan seksual menerusi talian khas Aduan Buli, emel [email protected] dan aduan buli di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

“KPM turut memantau kesegeraan penyampaian maklumat berkaitan kes buli dan gangguan seksual berdasarkan kepada Prosedur Operasi Standard iaitu pada kadar 1:3:7 hari,” tambah KPM.

Sebagai rekod, gambar mangsa dimasukkan ke hospital tular di laman Instagram pada Jumaat lalu bersama sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku-pelaku yang diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob pada Sabtu lalu mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian buli pada 24 September lalu membabitkan tiga pelajar lelaki di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying hari ini memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara adil berhubung kes buli di tanpa mengira latar belakang murid yang terlibat. – MalaysiaGazette