GAZA CITY – Bom yang digugukan Israel bukan satu-satunya akan menjadi punca kematian kepada 2.2 juta penduduk di Gaza.
Ini kerana, rakyat Palestin kini diancam kematian secara perlahan-lahan berikutan sekatan penuh yang telah berlanjutan selama sebulan dan juga tindakan Israel memusnahkan infrastuktur bekalan air kepada penduduk.
Media antarabangsa melaporkan pada 4 November lalu Israel telah mengebom takungan air di utara Gaza serta tangki air awam yang membekalkan beberapa kawasan kejiranan di selatan.
Penduduk tidak mempunyai bekalan air bersih selepas bekalan disekat daripada masuk ke dalam Gaza.
Agensi berita Al Jazeera melaporkan, bagi mendapatkan bekalan yang terhad ramai yang terpaksa beratur berjam-jam dengan harapan mendapatkan air yang boleh diminum.
Ramai orang awam di wilayah itu kini terpaksa minum air yang tercemar dan tidak dirawat selain ada yang menjadikan air laut sebagai punca bekalan.
Portal dalam talian Gaza Now pula melaporkan penduduk kini hanya makan biskut puff pastry untuk menghilangkan rasa lapar.
Program Makanan Sedunia (WFP) berkata, stok makanan di Gaza hampir habis, dengan hampir lima hari bekalan berbaki.
Bagi setiap orang yang telah menerima bantuan makanan WFP, sekurang-kurangnya enam orang lagi memerlukan.
Kedai roti yang masih beroperasi perlu mengeluarkan enam kali ganda kapasiti biasa, dengan penduduk beratur selama 4 hingga 6 jam untuk mendapatkan roti, dan juga membiarkan diri mereka terdedah kepada serangan Israel.
Hanya satu daripada kedai roti yang dikontrak oleh WFP, dan lapan kedai roti lain di kawasan selatan dan tengah, telah berselang-seli menyediakan roti ke tempat perlindungan, bergantung kepada ketersediaan tepung dan bahan api.
Jika keadaan ini berterusan penduduk yang terselamat daripada bom akan mati akibat kelaparan dan kehausan.- Agensi