KUALA LUMPUR – Jaringan pada minit-minit akhir oleh Sony Norde memastikan pasukan Terengganu FC (TFC) bangkit melakar kemenangan 3-2 ke atas Stallion Laguna FC dalam aksi Kumpulan G saingan Piala AFC hari ini.

Pada aksi di Stadium Binan, Filipina itu, pasukan tuan rumah terlebih dahulu mengejutkan TFC apabila membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Junior Ngong Sam.

Tidak terhenti di situ, 11 minit kemudian kubu pasukan anak buah Tomislav Steinbruckner sekali lagi dibolosi The Stallions hasil rembatan kencang luar kotak penalti Griffin McDaniel untuk meletakkan kelab Filipina itu selesa mendahului 2-0.

Tersentak dengan penguasaan tuan rumah, TFC menggandakan serangan yang akhirnya  membuahkan hasil selepas kapten pasukan Stallion, Laguna Matthew Nierras tertanduk masuk bola ke gawang sendiri  pada minit ke-33 dan keputusan itu kekal sehingga separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, gerakan lincah Norde di dalam kawasan kotak penalti Stallion Laguna yang melorongkan bola kepada Ivan Mamut disudahi dengan jaringan pada minit ke-67 untuk TFC mengikat kedudukan 2-2.

Asakan bertali arus TFC akhirnya membuahkan hasil apabila rembatan lencong Norde berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah Nelson Gasic pada minit ke-87, sekali gus membolehkan skuad Penyu mencuri tiga mata penting di tempat lawan.

Ia sekali gus mengubat kekecewaan TFC yang mencatat keputusan seri 2-2 dengan The Stallions pada aksi ketiga kumpulan, Oktober lepas.

Kejayaan tersebut menyaksikan TFC meraih keselesaan sementara mengungguli kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul lapan mata, dua mata mengatasi Central Coast Mariners FC dari Australia.

Kedudukan ini dijangka berubah sekiranya Central Coast Mariners meraih kemenangan ke atas Bali United FC (Indonesia) dalam satu lagi aksi Kumpulan G, malam ini. – Bernama