GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara adil berhubung kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) tanpa mengira latar belakang murid yang terlibat.
Penegasan itu dibuat oleh Timbalan Menteri KPM, Lim Hui Ying ketika diminta mengulas dakwaan ada campur tangan pihak berpengaruh dalam kes buli membabitkan pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima MCKK pada 24 September lalu.
Menurut beliau, siasatan berhubung kes buli itu masih dalam siasatan pihak polis dan KPM telah mengambil tindakan sewajarnya berkaitan isu tersebut.
“Status kes ini masih dalam siasatan polis namun kita telah mengambil tindakan yang sepatutnya dilakukan dalam kes ini berdasarkan garis panduan baharu bagi menangani kes buli di sekolah.
“Kita memandang berat isu buli membabitkan pelajar sekolah serta tidak akan berkompromi dalam hal ini.
“Suka saya tegaskan di sini, seperti mana saranan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) tiga isu iaitu buli, seksual serta perkauman akan dihapuskan dari sekolah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu Hui Ying merasmikan Majlis Anjung Ketipang Payung di Sekolah Kebangsaan Tan Sri P Ramlee di Jalan Timah di sini.
Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM98,854 daripada peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) kepada sekolah berkenan bagi menaik taraf gelanggang murid keperluan khas, enam buah bilik PPKI serta perabot sekolah.
Mengulas lanjut Hui Ying berkata, pihak KPM sedia untuk mengadakan pertemuan dengan keluarga mangsa buli MCKK sekiranya mereka mahu.
“Saya simpati dan faham akan perasaan keluarga tersebut dan kita harap mereka sabar sementara siasatan dijalankan.
“KPM juga memberi jaminan tidak akan memihak mana-mana pihak dalam menjalankan siasatan ini.
“Malah, kita juga terbuka sekiranya keluarga mangsa buli itu mahu mengadakan perjumpaan bagi membincangkan isu tersebut,” kata beliau.
Media sebelum ini melaporkan keluarga mangsa buli mendakwa terdapat percubaan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menutup kes itu.
Ia berikutan pelaku utama adalah anak kepada ahli jawatankuasa PIBG dan keluarga pelajar lelaki yang melakukan ‘rugby tackle’ mempunyai kenalan politik.
Pada 4 November lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian buli pada 24 September lalu membabitkan tiga pelajar lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh di sini.
Gambar mangsa dimasukkan ke hospital tular di laman Instagram pada Jumaat lalu bersama sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku-pelaku yang diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah. – MalaysiaGazette