Dari kiri, Syaiful Rizal Abdul Ghani, Pengurus Besar YBR; YB Syahredzan Johan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR; Prof. Emeritus Dato' Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UKM; Rohaya Umar, Ketua Pustakawan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Dr. Nurwina Akmal Annuar, Timbalan Pengarah Perkhidmatan Inklusif (HEP) di sesi penyerahan mockup cheque Bantuan Awal Pengajian UKM.

BANGI – Yayasan Bank Rakyat (YBR) meneruskan Bantuan Awal Pengajian (BAP) dalam usaha membantu pelajar yang kurang berkemampuan dengan menyalurkan RM100,000 kepada pelajar B40 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi meneruskan pengajian.

Replika cek Bantuan Awal Pengajian serta upacara perasmian dan gimik penyerahan telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohamad Abd Razak sempena Majlis Perasmian Pembudayaan Ilmu Perpustakaan UKM.

Turut hadir dalam sesi tersebut adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR merangkap Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan; Timbalan Pengarah Perkhidmatan Inklusif Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM, Dr Nurwina Akmal Anuar; Ketua Pustakawan UKM, Rohaya Umar; Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul
Na’im Arifin; Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat, Mohamad Ghazali Zainal Abidin dan Pengurus Jabatan Serambi Ilmu Rakyat YBR, Zatul Hasanah Mohd Radzhuan.

Sementara itu, Prof Dr. Mohamad berkata, ‘berbagai inisiatif telah diambil dengan melibatkan pertubuhan-pertubuhan, sektor korporat dan individu untuk bersama sebagai penyumbang kepada universiti dalam bentuk penyediaan ruang pembelajaran
baharu yang kondusif, kelengkapan peralatan, sumbangan berbentuk dana wakaf bagi pembangunan fizikal serta serahan koleksi-koleksi peribadi melibatkan bahan-bahan nadir yang bernilai tinggi’

“Terima kasih YBR antara pertubuhan NGO yang amat prihatin telah mewujudkan Serambi Ilmu Rakyat serta memberi bantuan tunai kepada para pelajar UKM dalam meneruskan pengajian dan 6 pengasas awal UKM juga turut hadir dan menyerahkan
bahan untuk simpanan arkib dan muzium UKM bagi rujukan kepada pelajar-pelajar UKM,” katanya.

Hadir di majlis yang sama Syahredzan berkata, YBR sentiasa proaktif dalam memberikan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik terutamanya B40 untuk mendapat kualiti pendidikan sama seperti mereka yang lain.

Tambah beliau, inisiatif untuk memperkasakan mutu pendidikan tidak hanya memberi fokus terhadap pelajar, namun suasana pembelajaran di universiti juga harus diberi penekanan kerana dengan sumber yang mencukupi pelajar akan lebih selesa dan mudah untuk membuat capaian maklumat.

“Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan pelajar untuk meneruskan semester pengajian dan juga sebagai pemangkin untuk berusaha mendapat keputusan yang cemerlang di masa akan datang,” katanya yang hadir bagi menyerahkan Bantuan Awal Pengajian YBR dan perasmian ‘SIR Corner’ di Anjung Pro-Canselor Tun Ahmad Sarji, Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM.

Bantuan ini melibatkan 100 pelajar semester 1 hingga 3 di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dengan peruntukan sebanyak RM1,000 setiap seorang dari kalangan keluarga B40 dan pemilihan mereka telah dikenalpasti oleh Jabatan Hal
Ehwal Pelajar UKM.

Pada majlis sama, YBR melalui Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat atau lebih dikenali dengan nama ‘SIR Corner’ telah menyumbangkan set kelengkapan ‘SIR Corner’ kepada perpustakaan Tun Seri Lanang UKM dengan objektif memberikan manfaat kepada seluruh pelajar UKM dalam mendapatkan maklumat terkini serta bahan-bahan bacaan ilmiah secara digital.

YBR juga telah memperuntukkan sebanyak RM350,000 setiap tahun untuk langganan dan pangkalan data bahan-bahan digital SIR dari pihak pembekal.

Usaha ini bertujuan menggalakkan tabiat membaca buat pelajar-pelajar dan masyarakat tanpa sempadan masa dan lokasi.

Antara pengisian majlis adalah Pelancaran Logo Perpustakaan UKM, Pelancaran LibGuides Perpustaakan UKM, Pelancaran Kempen Derma Koleksi Arkib & Muzium, Penyerahan Koleksi Lukisan Azman Nor, Penyampaian Anugerah Pencinta Ilmu, Penyampaian Keahlian Kehormat Perpustakaan serta lawatan tapak ke pameran koleksi perpustakaan, Sudut SIR Corner, Anjung Qurani, Bilik Koleksi Pengasas serta Ruang Activ Switch@PTSL. – MalaysiaGazette